Friday, September 3, 2010

Tol percuma, diskaun hingga 40% sempena Aidilfitri

Tol percuma, diskaun hingga 40% sempena Aidilfitri
Sep 2, 10 8:40pm

Kongsi 0Dua puluh empat syarikat konsesi lebuh raya memberikan diskaun sehingga 40 peratus kepada pengguna lebuh raya sempena Aidilfitri ini manakala syarikat konsesi Kumpulan MTD "menghadiahkan" laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata Kumpulan MTD memberikan laluan tol percuma pada 7, 8, 15 dan 16 Sept depan mulai pukul 9 malam hingga 6 pagi kepada semua jenis kenderaan.

Sejumlah 24 lagi syarikat konsesi lain, katanya memberikan diskaun tol pada 6 hingga 8 Sept serta 13 hingga 15 Sept mulai pukul 12 malam hingga tujuh pagi, umumnya bagi kenderaan ringan iaitu kereta dan beberapa kelas kenderaan lain.

"Selain menyemarakkan sambutan Hari Raya mereka memberi tol percuma dan diskaun untuk melakukan penyuraian trafik kerana mereka percaya bila beri diskaun atau tol percuma pada waktu itu, maka lebih ramai orang akan menggunakan lebuh raya.

"Nanti tidaklah berlaku kesesakan pada waktu puncak terutama siang. Sebab itu syarikat konsesi mempunyai strategi mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya kementerian itu di Plaza Tol Gombak hari ini.

Shaziman berkata tahun ini merupakan tahun kedua syarikat-syarikat konsesi menyahut seruan kerajaan untuk memberi diskaun dan tol percuma kepada pengguna lebuh raya.

"Tahun lepas hanya dua syarikat konsesi memberi diskaun dan tol percuma berbanding 25 syarikat pada tahun ini. Insentif ini sebagai satu penghargaan daripada kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi kepada rakyat sempena Aidilfitri," kata beliau.

Dalam pada itu, Shaziman turut meminta syarikat-syarikat konsesi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan pengguna lebuh raya termasuk perkhidmatan lori tunda untuk membantu kenderaan yang mengalami kerosakan atau kemalangan.

"Saya juga berharap pengguna lebuh raya yang menghadapi sebarang masalah supaya menghubungi syarikat konsesi ini atau Lembaga Lebuhraya Malaysia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kerja-kerja pembinaan di jalan raya dan lebuh raya dihentikan buat sementara mulai semalam bagi memastikan aliran trafik lancar dan untuk menjamin keselamatan pengguna.

Berikut adalah senarai lebuh raya yang memberikan diskaun tol:

* Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura: 20 peratus diskaun kepada pengguna kenderaan ringan serta rebat tambahan 20 peratus kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa pada 6,7 dan 8 Sept serta 13, 14 dan 15 Sept.

* Lebuhraya Kulim Butterworth: Rebat tambahan 20 peratus kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa pada 6,7 dan 8 Sept serta 13, 14 dan 15 Sept.

* Lebuhraya Metramac: diskaun tol RM 0.10 untuk semua kelas kenderaan pada 10 Sept mulai 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.

* Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): diskaun 10 peratus untuk semua kelas kenderaan mulai 12:01 tengah malam 10 Sept hingga 11.59 malam 12 Sept.

* Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas): diskaun 10 peratus untuk semua kelas kenderaan bagi Plaza Tol di bawah sistem kutipan tol tertutup (Plaza Tol Kajang Selatan hingga Setul) mulai 12:01 tengah malam 10 Sept hingga 11.59 malam 12 Sept, manakala tol percuma di Plaza Tol Ampangan untuk semua kelas kenderaan pada 9 Ogos hingga 20 Sept.

* Lebuhraya Damansara Puchong (LDP): diskaun RM0.60 untuk semua kelas kenderaan pada 10 Sept mulai 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.

* Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint): diskaun RM0.20 untuk semua kelas kenderaan pada 10 Sept mulai 12.01 tengah malam pagi hingga 12 tengah hari.

* Lebuhraya SMART: diskaun 15 peratus untuk semua kelas kenderaan mulai 12 tengah malam 10 Sept hingga 12 tengah hari 11 Sept.

* Lebuhraya Shah Alam (Kesas): diskaun 10 peratus untuk kenderaan kelas satu mulai 6.01 pagi 10 Sept hingga 6 pagi 11 Sept.

* Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Shah Alam Kuang (Guthrie), Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke) dan Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga): diskaun 10 peratus untuk semua kelas kenderaan pada 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam 10 Sept.

* Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (Silk): diskaun lima peratus untuk semua kelas kenderaan pada 12 tengah malam hingga 11.59 malam 10 Sept.

* Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru: diskaun 10 peratus untuk semua kelas kenderaan pada 11 malam 9 Sept hingga 8 pagi 10 Sept.

* Lebuhraya KL Putrajaya dan Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) : diskaun 10 peratus untuk semua kelas kenderaan pada 10 Sept mulai 12 tengah malam hingga 11.59 malam.

* Lebuhraya Senai Desaru: diskaun 32 hingga 36 peratus bagi kenderaan kelas satu pada 12.01 tengah malam 10 Sept hingga 12 tengah malam 11 Sept.

pic dari PLUS

Sumber dari: http://www.malaysiakini.com/news/141798

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.